Anggota polis menahan suspek bersama kereta curi.

Kuala Lumpur: Patahkan nombor plat kereta dicuri untuk mengelak dikesan polis. Itu antara taktik licik digunakan penjenayah yang aktif melarikan kereta sekitar ibu kota.

Suspek berusia 31 tahun itu bagaimanapun ditahan polis di Jalan Sungai Besi, di sini, kelmarin, selepas cuba melarikan diri.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, suspek dikesan memandu kereta Proton Waja dipercayai hasil kegiatan curi kenderaan.

Sumber polis, suspek ditahan pasukan Ops Rentap yang membuat pemeriksaan secara rambang di kawasan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kenderaan dinaiki suspek mencurigakan.

“Semakan dilakukan terhadap nombor casis kenderaan mendapati kereta itu dilaporkan hilang dicuri dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Ampang,” katanya.

Siasatan awal terhadap lelaki berasal dari Klang itu, mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau tetapi tidak dikehendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 8:49 AM