Zulkifli (duduk, tiga dari kanan) menziarahi Nurhidayah Fatihah untuk menyampaikan sumbangan penderma melalui Muslim Care.
Hafizudin Mohd Safar
am@hmetro.com.my


Padang Besar: Gembira dan berdebar. Itu perasaan keluarga bayi berusia lima bulan, Nurhidayah Fatihah Mohamad Sejawi ketika dimaklumkan tarikh pembedahan mukanya yang sumbing dijangka 16 Mei ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor.

Semalam, keluarga itu menerima lawatan Muslim Care Society Malaysia (Muslim Care) di Kampung Kok Klang, Chuping, di sini, menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada ibu bayi, Nurbustaniah Hussin, 21, selain menanggung kos pembedahan.

Ibu saudaranya, Suhafiza Johari 29, berkata, mereka tidak putus-putus melakukan solat hajat dan berdoa pembedahan berjalan lancar.

“Pada asalnya kami semua tidak tahu kepada siapa mahu permohonan bantuan, namun selepas beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir memberi bantuan, kami bersyukur kerana proses pembedahan bahagian muka Nurhidayah Fatihah boleh dimulakan.

“Solat hajat akan dilakukan pada 11 Mei ini di Masjid Al-Hakam, Kampung Kok Klang selepas Asar bersama penduduk tempatan. Kami berdoa agar pembedahan memberi peluang positif dan berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang sudi menderma kepada tabung pembedahan Nurhidayah Fatihah.

“Secara rasminya tabung bantuan pembedahan Nurhidayah Fatihah yang dibuka Muslim Care ditutup pada 19 April lalu memandangkan jumlah sumbangan dikumpulkan melebihi kos pembedahan awal iaitu RM30,000.

“Namun, Muslim Care masih menerima sumbangan tambahan sekiranya ada pihak yang sudi menghulurkan memandangkan mungkin terdapat kos tambahan selepas pembedahan peringkat pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 8:55 AM