ANTARA GRO Melayu yang ditahan dalam Operasi BAH di ibu kota, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Muka selamba tanpa sedikit pun rasa bersalah. Itu antara raut wajah ditunjukkan sekumpulan pelayan pelanggan (GRO) membabitkan wanita berbangsa Melayu dan beragama Islam sejurus ditahan pihak berkuasa.

Mereka yang bekerja sebagai GRO di pusat hiburan dan karaoke di sekitar ibu kota di sini, dengan bangga menunjukkan susuk tubuh seksi sehingga mendedahkan aurat.

Wartawan yang turut serta dalam operasi bersepadu Banteras Aktiviti Haram (BAH) awal pagi semalam, mendapati kumpulan wanita itu sengaja mencabar pihak berkuasa untuk menahan mereka.

Malah mereka mendakwa sudah lali berikutan berulang kali ditangkap dan berita penahanan mereka disiarkan di kaca televisyen.

Difahamkan, GRO tempatan itu turut menawarkan pakej khidmat seks berharga RM200 hingga RM300 kepada pelanggan yang berminat.

Kegiatan itu terbongkar hasil operasi BAH dilakukan terhadap empat premis hiburan termasuk sebuah pusat hiburan kanak-kanak di sekitar Jalan Pudu dan Jalan P Ramlee di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan bermula jam 11.45 malam kelmarin dan berakhir jam 5.50 pagi semalam, seramai 47 individu termasuk 15 wanita dipercayai GRO ditahan atas pelbagai kesalahan.

Operasi bersepadu membabitkan 285 anggota daripada 23 agensi serta 10 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, operasi siri ke-23 itu menumpukan pusat karaoke dan pusat hiburan yang dikenal pasti menyediakan perkhidmatan GRO beragama Islam.

“Rata-rata kelab hiburan di sini didapati menggaji pekerja beragama Islam termasuk wanita sebagai GRO yang pastinya adalah kesalahan mengikut jenayah syariah,” katanya selepas tamat operasi.

Adnan berkata, turut ditahan adalah pekerja dan pelanggan beragama Islam yang mengambil minuman keras semasa berhibur.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk tindakan lanjut.

Adnan berkata, selain itu, pihak berkuasa turut menyita lebih 60 set mesin judi bernilai kira-kira RM300,000 di pusat hiburan kanak-kanak dalam operasi itu.

“Di sebalik pusat hiburan kanak-kanak ini, kita kesan aktiviti perjudian namun ketika serbuan dijalankan pemilik dan pelanggan sudah melarikan diri dan berkemungkinan operasi ini dapat dihidu terlebih dulu.

“Operasi seperti ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tidak bermoral khususnya membabitkan individu beragama Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 9:14 AM