Ahmad Fauzi melihat ikan yang ditangkap peserta pertandingan.
Ahmad Fauzi melihat ikan yang ditangkap peserta pertandingan.
Peserta pertandingan Memancing dan Santai Rakyat 1 Parlimen Setiawangsa di Taman Tasik Sri Rampai.
Peserta pertandingan Memancing dan Santai Rakyat 1 Parlimen Setiawangsa di Taman Tasik Sri Rampai.
Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Berbekal umpan cacing dan roti manis berharga RM5, Arema Hassan memenangi tempat pertama serta membawa pulang RM2,500 sempena pertandingan memancing Parlimen Setiawangsa di tasik Taman Seri Rampai, Setapak, di sini, semalam.

Arema, 46, dari Taman Rejang Enam, Setapak, di sini, berkata, tidak sangka ikan keli Afrika seberat 6.25 kilogram (kg) yang dinaikkan membawa tuah kepadanya.

“Syukur, kemenangan ini seperti rezeki terpijak kerana ini kali pertama saya menyertai pertandingan memancing menyebabkan saya tidak percaya mengalahkan 299 peserta lain.

“Lagipun, pagi tadi saya kelam-kabut dan lambat sampai di kolam pancing ini, semuanya seperti tidak kena kerana ketika sampai sudah ramai yang ambil tempat melontar pancing masing-masing,” katanya.

Katanya dia tiba jam 8 pagi di acara itu iaitu selepas satu jam pertandingan bermula.

“Ikan keli itu dinaikkan jam 9 pagi selepas ikan pertama dinaikkan jam 8.30 pagi.

“Alhamdulillah saya tidak berdepan masalah menaikkan ikan itu dan hanya ambil 10 minit saja untuk bertarung kerana saya perlu berhati-hati menarik tali pancing bagi elak terputus,” katanya.

Acara dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia itu disempurnakan Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Hadir Sama Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Mohd Taib Ubah.

Ahmad Fauzi berkata, satu tan ikan keli Afrika, Patin dan Pacu dilepaskan ke kolam pada Khamis lalu.

“Penganjuran kali keempat ini mendapat sambutan baik dari penduduk sekitar Parlimen ini, tetapi kami mengehadkan penyertaan bagi memberi keselesaan kepada mereka.

“Untuk tahun ini, nilai hadiah utama dinaikkan kerana sambutan yang baik daripada peserta,” katanya.

Pada pertandingan itu, hadiah tempat kedua dimenangi Rosli Hussien yang membawa pulang RM1,500 dan tempat ketiga pula hadiah RM1,000 dimenangi Sarib Dol selain 13 hadiah sagu hati.

Program info komuniti itu turut menyediakan pelbagai acara lain termasuk pameran daripada agensi kerajaan, sukaneka, persembahan artis dan jamuan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 7:14 AM