ANGGOTA Bomba  Banting melakukan kerja pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.
ANGGOTA Bomba Banting melakukan kerja pemadaman kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.
myMetro

Kuala Langat: Hujan lebat sejak beberapa hari lalu membantu usaha memadamkan kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan di sini, yang berlarutan sejak 31 Mac lalu.

Sehingga semalam, situasi kebakaran menunjukkan perubahan ketara apabila hanya kira-kira empat hektar hutan di kawasan itu masih terbakar berbanding 25 hektar sebelum ini.

Pasukan petugas membabitkan pelbagai agensi masih berusaha memadamkan kebakaran kawasan hutan tanah gambut itu bagi memastikan ia tidak merebak atau terbakar semula.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Banting berkata, hujan lebat kira-kira jam 2 pagi semalam membantu meredakan kebakaran di kawasan itu.

Menurutnya, seramai 45 petugas termasuk anggota bomba ditempatkan di lokasi itu sejak lebih sebulan lalu.

“Kawasan yang berjaya dipadamkan menunjukkan perubahan memberangsangkan dengan bantuan air hujan sejak beberapa hari lalu.

“Bagaimanapun, bomba masih berusaha memadamkan baki kebakaran sebelum operasi boleh ditamatkan sepenuhnya kelak,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, usaha pasukan petugas berdepan cabaran kerana terpaksa menggunakan air yang banyak selain cuaca panas dalam usaha memadamkan kebakaran tanah gambut.

Selain itu, parit juga dibina sebagai langkah mengawal kebakaran daripada merebak selain menyalurkan air ke kawasan terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 7:08 AM