API kebakaran marak dengan pantas dalam kejadian kebakaran di PJS 1, Kampung Pinang.
API kebakaran marak dengan pantas dalam kejadian kebakaran di PJS 1, Kampung Pinang.
myMetro

Petaling Jaya: Dua kereta terbakar dan gagal diselamatkan sejurus sebuah pusat pengumpulan barang lusuh di PJS 1, Kampung Pinang di sini, dijilat api.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, kebakaran memusnahkan kereta model Datsun dan Proton Saga yang diletakkan berhampiran premis.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala bergegas ke lokasi.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah kereta musnah terbakar manakala sebuah lagi kereta model Proton Saga rosak kesan kebakaran itu.

“Api marak dengan pantas berikutan kebanyakan barangan yang berada di dalam premis itu bahan mudah terbakar,” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan dua aliran hos air tangki bagi memadamkan kebakaran.

“Anggaran kerugian dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 9:07 AM