DR Jeyaindran (tengah) bersama Dr Zaininah (tiga kiri) melawattapak pameran.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 20 peratus doktor siswazah tidak dapat menghabiskan latihan perubatan (houseman) dalam tempoh 24 bulan kerana mengalami tekanan di tempat kerja.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) kementerian itu, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata, perkara terbabit lazimnya berlaku kepada penuntut perubatan dari luar negara kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana pekerjaan hospital di negara ini.

“Setiap tahun KKM mengambil 5,000 doktor siswazah untuk dilatih, tetapi 1,000 daripadanya dikenal pasti menghadapi masalah ini (tekanan dan tidak menghabiskan latihan).

“Ini isu besar dan kerajaan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah itu dan dapat mengurangkan bilangannya kepada lima peratus pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan 2016 di Auditorium Hospital Kuala Lumpur di sini, semalam.

Program bertemakan tekanan di tempat kerja cabaran kolektif itu turut dihadiri Pengarah Hospital Kuala Lumpur Datuk Dr Zaininah Mohd Zain.

Dr Jeyaindran berkata, kegagalan menamatkan latihan itu menyebabkan kerajaan menanggung kerugian kerana kos pengajian untuk seorang doktor siswazah antara RM500,000 hingga RM700,000.

“Pada masa sama turut menyekat peluang doktor siswazah lain untuk mendapat pekerjaan kerana tempat disediakan terhad,” katanya.

Selain itu Dr Jeyaindran berkata, KKM juga mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi membolehkan doktor siswazah bekerja dalam bidang lain di kementerian lain, dua bulan lalu.

“Sistem ini dilaksanakan di negara luar seperti India yang mana doktor perubatan negara terbabit boleh berkhidmat di pejabat kedutaan dan perbendaharaan.

“Perbincangan lanjut perlu dilakukan untuk mengelakkan timbul isu berbangkit terutama pelarasan gaji antara lulusan kedoktoran dan sastera yang memang ada perbezaannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 7:13 AM