Dayang Lohani menyuapkan makanan untuk arwah suaminya, Mohd Sofi ketika menjaga Siti Nurul Hidayah di HTAN.

Kuala Pilah: Allah SWT mengujinya dengan tiga ujian termasuk kehilangan anak kedua, Siti Nurjanah yang lemas di sungai berhampiran kampung halamannya di Kampung Melayu, Tebekang, Serian, Sarawak pada Disember 2009.

Empat tahun sebelum itu, Dayang Lohani Awang Zain, 49, turut diuji apabila anak ketiganya, Siti Nurul Hidayah, 18, koma dan terlantar di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah selepas terjatuh di bilik air ketika berusia tujuh tahun.

November tahun lalu, wanita ini berdepan satu lagi ujian dan kali ini, suaminya Mohd Sofi Mohamad Amin, 53, diserang angin ahmar menyebabkannya terlantar di hospital sama.

Selama itu Dayang Lohani tabah melalui perjalanan hidup yang penuh ranjau dan berliku.

Tepat jam 7.51 petang Khamis lalu, Dayang Lohani kehilangan Mohd Sofi yang dipanggil menghadap Ilahi.

Suami yang menjadi tempat mengadu selama ini meninggal dunia di HTAN.

Ketika berkongsi ujian dihadapinya, Dayang Lohani berkata, arwah suaminya berhajat untuk mengunjungi pusara Siti Nurjanah di Sarawak namun tidak kesampaian.

“Arwah kritikal sejak dua minggu lalu dan dia kemudiannya dipindahkan ke wad tiga. Sejak itu, saya lebih kuatkan semangat kerana perlu menjaga suami dan anak di wad berbeza.

“Bagaimanapun, tumpuan diberi kepada suami kerana tahap kesihatannya menurun dan kritikal. Sebelum meninggal, arwah sempat berpesan kepada saya supaya menjaga anak sebaik mungkin terutama Siti Nurul Hidayah.

“Saya sempat mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di depan saya serta dua anak kami. Kemudian disusuli Siti Nurul Hidayah yang dibawa untuk menatap wajah terakhir bapanya sebelum dibawa pulang ke Sungai Kelamah, Gemencheh untuk dikebumikan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Dayang Lohani, hidupnya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, namun dia tidak pernah kecewa malah menganggap semua itu adalah dugaan Allah SWT terhadap hamba-Nya.

“Ujian Allah SWT kepada saya serta keluarga bermula sejak Januari 2005 apabila Siti Nurul Hidayah terjatuh dalam bilik air menyebabkan dia lumpuh dan terlantar di HTAN sejak 11 tahun lalu.

“Hidup perlu diteruskan kerana saya memegang amanah diamanahkan arwah,” katanya sambil mengesat air mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:27 AM