WAN Hamzah bersama isterinya, Wan Hamidah Wan Sulaiman menunjukkan anugerah yang diraih ketika ditemui di rumahnya di Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu.
WAN Hamzah bersama isterinya, Wan Hamidah Wan Sulaiman menunjukkan anugerah yang diraih ketika ditemui di rumahnya di Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu.
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Nur Lela Zulkipli

Kota Bharu: Perkembangan pendidikan masa ini memerlukan guru seiring peredaran zaman bagi menghadapi dunia pembelajaran yang mencabar.

Pesara guru, Wan Hamzah Wan Daud, 64, yang mempunyai pengalaman 32 tahun berkata, guru perlu membina sikap yang selari dengan profesion perguruan masa kini.

Penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2013 dan Tokoh Guru Negeri Kelantan 2012 mengakui, guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan perlu banyak membaca supaya fikiran lebih kreatif dan kritis untuk memberi ilmu kepada pelajar.

“Sepanjang bertugas sebagai guru, pelbagai cabaran yang dihadapi dan ditugaskan menjadi pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (FELDA) Semenchu, Kota Tinggi, Johor pada tahun 1982 sehingga 1985 iaitu sebuah sekolah yang sangat bermasalah, termasuk disiplin dan pembelajaran.

“Walaupun saya tahu sekolah itu tercorot, namun saya terima ia sebagai rezeki dan mentransformasikan sekolah itu apabila mula mendekati pelajar dan ibu bapa. Setiap hari saya memberi nasihat positif sebagai motivasi kepada pelajar untuk hadir ke sekolah.

“Pada awalnya ramai yang ponteng kelas, namun beberapa bulan kemudian prestasi mereka meningkat apabila muncul sebagai sekolah harapan negeri Johor pada tahun 1985 dan mencapai keputusan cemerlang apabila menduduki tempat kedua dalam daerah Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Guchil Bayam, di sini, semalam.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian), Diploma Pendidikan, Diploma Psikologi dan Kaunseling serta Sarjana Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, sepanjang terbabit dengan dunia pendidikan, beliau sentiasa memberi galakan kepada pelajar.

Wan Hamzah berasal dari Kampung Gaal, Pasir Puteh berkata, banyak pengalaman manis yang dicatat sepanjang 11 tahun menjadi pengetua di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa apabila muncul sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Kohort 1 dan menerima Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran pada 2007.

Katanya, ibu tersayang, Kiah Draman, 80, yang mendorong dirinya menjadi guru supaya dapat berjasa kepada anak bangsa.

Mengulas mengenai, tema sambutan hari guru tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, beliau berkata, ia amat sesuai kerana selain mendidik, guru perlu menjadi pembentuk dan pembimbing pelajar selain sentiasa memberi motivasi kepada pelajar mereka.

“Misalnya, dulu selepas memukul pelajar saya akan memeluk mereka dan memberitahu hukuman itu adalah untuk perbuatannya. Hal ini akan mendekatkan diri guru dengan pelajar dan mereka akan sedar di atas kesilapan dilakukan, sekali gus membimbing mereka untuk cemerlang,” katanya.

Menurutnya, hubungan guru dengan ibu bapa juga penting kerana melalui mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mereka boleh memberi pendapat untuk memajukan pendidikan anak-anak.

Katanya, hubungan erat antara semua pihak dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar seterusnya menjadikan sekolah cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 10:37 AM
Digital NSTP Subscribe