PEMBACA setia akhbar Harian Metro beratur untuk menebus tiket taman tema Legoland di Balai Berita, Bangsar.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Kuala Lumpur: Sanggup mengambil cuti dan datang seawal mungkin kerana tidak mahu terlepas peluang mendapatkan tiket percuma ke taman tema Legoland di Johor.

Itulah suasana yang dapat dilihat apabila pembaca setia Harian Metro datang beramai-ramai ke Balai Berita, NSTP untuk menebus baucar tiket ke Legoland dan mula beratur seawal jam 8 pagi.

Mohd Saiful, 33, penjawat awam rela mengambil cuti pada hari ini (semalam) bagi merealisasikan impiannya untuk membawa keluarga bercuti ke taman tema itu.

“Ini penyertaan saya untuk tahun ke-14. Saya tidak akan melepaskan peluang ini untuk membawa keluarga bercuti seperti tahun sebelumnya. Apatah lagi ia percuma berbanding perlu mengeluarkan belanja besar untuk membayar harga sebenar tiket,” katanya yang kembali beratur untuk kali kedua bagi mendapatkan tiket.

Sementara itu, Haliza Hedzir, 40, berkata, Kempen Penebusan Tiket HM-LEGOLAND 2016 yang dianjurkan Harian Metro kali ini sangat mengujakannya.

“Ini tahun kelima saya menyertai kempen anjuran Harian Metro, namun tahun ini lebih bermakna kerana tarikh sah tiket itu jatuh pada cuti sekolah. Oleh itu, saya berpeluang membawa anak bercuti kali ini,” katanya.

Kempen Penebusan Tiket HM-LEGOLAND 2016 kali ini terhad kepada 2,750 pembaca setia pertama yang hadir menebusnya.

Pembaca yang hadir diingatkan supaya membawa borang lengkap berserta 20 keratan kepala akhbar HM dan satu keratan iklan berkaitan kempen penebusan ini.

Mereka boleh menebus dua keping tiket bernilai RM450 yang sah digunakan bermula 5 sehingga 31 Mei ini.

Selain itu, pembaca juga layak mendapat 50 peratus potongan baucar untuk membeli tiket dengan hanya membawa keratan iklan ‘LEGO® Star Wars™ Day’ yang tertera ‘50% Diskaun’ disiarkan akhbar Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 9:18 AM