PASUKAN Tindakan Khas (PTK) JPJ dan polis bekerjasama membanteras kegiatan tonto.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Sindiket tonto kini ‘kecut perut’ dan mengambil pendekatan mencabut serta menukar logo kumpulan itu sejak operasi pihak berkuasa bermula 26 April lalu.

Berdasarkan maklumat, sekumpulan tonto menggunakan logo kereta ditunda menanggalkan pelekat logo itu pada semua kenderaan milik sindiket dan lori yang ‘dilindungi’ mereka.

Tindakan serta-merta itu dilakukan sehari selepas Op Cantas Khas Tonto dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan bantuan polis.

Malah, hampir semua kenderaan kumpulan tonto itu kini bergerak tanpa sebarang logo rahsia.

Sumber berkata, siasatan pihak berkuasa mendapati sindiket tonto turut menggunakan logo baru menyerupai ikan arowana, logo Martell atau simbol matahari yang mempunyai garisan putus-putus.

“Mereka takut, tapi berdegil meneruskan operasi,” katanya.

Menurutnya, kumpulan yang menggunakan lambang kereta ditunda antara paling aktif di kawasan Lembah Klang dan mempunyai rangkaian besar dalam sindiket tonto.

“Kumpulan ini antara paling lama wujud di Malaysia iaitu ditubuhkan sejak 20 tahun lalu.

“Yang pasti mereka mahu teruskan kegiatan, tetapi dalam ‘rupa’ lain,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan tonto mengurangkan kehadiran mereka di tempat awam secara terbuka tapi pasti kembali aktif dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk V Valluvan Veloo berkata, pihaknya pasti memburu kumpulan tonto itu dengan kerjasama Unit Pencegahan Kongsi Gelap (D7A) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Op Cantas Khas Tonto.

“Operasi diketuai Deputi Superintendan Shan Gopal Krishnan diyakini mampu membenteras kumpulan tonto hingga ke akar umbi.

“Semua tindakan kumpulan tonto ada dalam pemantauan dan pemerhatian kami,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung ancaman keras terhadap anggota JPJ, Valluvan berkata, tonto menjadi berani hingga mengganggu dan mengancam keselamatan anggota penguat kuasa sejak 2010.

“Apabila anggota JPJ membuat tindakan penguatkuasaan, tonto memantau dan sanggup ambil tindakan ganas melanggar kenderaan penguat kuasa bagi membebaskan lori.

“Kejadian seperti itu berlaku banyak kali contohnya seperti di Dengkil dan Puchong, Selangor” katanya.

Beliau berkata, insiden paling buruk di Ayer Tawar, Sitiawan, Perak, apabila kenderaan JPJ dilanggar dan dibakar hingga menyebabkan kerugian RM120,000.

“Ketika itu, anggota yang berada dalam kenderaan itu bernasib baik kerana orang awam melarikan anggota penguat kuasa untuk membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 9:29 AM