Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Pertandingan bola sepak EURO 2016 bermula lama lagi, namun jersi tiruan pasukan bertanding sudah mula dijual pada harga semurah RM30 sehelai.

Kegiatan itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur yang menyerbu dua premis menjual jersi itu di Kompleks Tuanku Abdul Razak (TAR) di sini, baru-baru ini.

Jersi terbabit disembunyikan dalam stor simpanan pakaian tiruan milik premis terbabit yang terletak di bangunan sama.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur, Rosli Ahmad berkata, serbuan dilakukan selepas pemilik jenama pakaian sukan itu membuat aduan berhubung penjualan jersi tiruan itu.

“Penelitian mendapati jersi bola sepak tiruan itu sama seperti jersi EURO 2016 dan dicetak dengan menggunakan nombor siri sama dalam kuantiti besar.

“Kami merampas 2,615 jersi bernilai RM52,000 yang menggunakan jenama tiruan Puma, Nike dan Adidas. Jersi berkenaan belum lagi dilancarkan secara rasmi oleh pemilik jenama.

“Siasatan mendapati peniaga terbabit mendapatkan bekalan jersi itu daripada pengilang haram di China,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan.

Katanya, sejak Januari hingga bulan ini, 53 peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dengan nilai rampasan RM640,000.

“Sepanjang 2015 pula, seramai 230 peniaga dikenakan tindakan sama membabitkan nilai rampasan RM2.1 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:02 AM