myMetro

Kuching: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengesahkan laluan Betong-Kuching digunakan helikopter jenis Airbus AS350 yang terhempas di Sungai Batang Lupar, Sebuyau, petang Khamis lalu adalah selamat dan biasa digunakan untuk semua penerbangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, DCA mempunyai maklumat mengenai semua laluan di Sarawak dan memberi maklumat teliti kepada semua juruterbang sebelum berlepas.

Menurutnya, juruterbang turut dimaklumkan mengenai semua risiko akan dihadapi terutama keadaan cuaca.

“Laluan digunakan helikopter malang itu selamat, buktinya ada empat hingga lima helikopter berada berhampiran dan selamat mendarat di Kuching.

“Pernah satu masa dulu, ada laluan di kawasan Miri diisytiharkan sebagai zon tiada penerbangan terutama di kawasan pedalaman dan antara gunung. DCA memberi nasihat kepada juruterbang dan ia bergantung kepada mereka sama ada untuk meneruskan perjalanan atau tidak.

“Semua juruterbang terlatih dan mereka faham risiko bakal dihadapi,” katanya pada sidang media khas di Menara dan Pusat Kawalan DCA di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Liow berkata, Bahagian Siasatan Kemalangan Udara menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat tragedi itu dan laporan awal dijangka dikeluarkan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, laporan berkenaan akan menerangkan punca kejadian serta faktor lain yang berkaitan dengan tragedi itu.

“Selain DCA dan agensi berkaitan, syarikat pengeluar helikopter turut dipanggil menyertai pasukan siasatan bagi memastikan ia dikeluarkan secara terperinci dan lengkap,” katanya.

Kali terakhir nahas udara berlaku di kawasan Sungai Batang Lupar mengorbankan tiga mangsa pada Julai 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:24 AM