PAMERAN jentera bomba antik milik Sultan Ibrahim.
SULTAN Ibrahim memeriksa barisan pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Keupayaan melaksanakan tugas mengikut keperluan masyarakat menyebabkan peranan anggota bomba dan penyelamat bukan saja tertumpu kepada panggilan kebakaran, tetapi jauh lebih kompleks apabila turut menangani mangsa kemalangan dan runtuhan bangunan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, anggota jabatan berkenaan turut berdepan tugasan berisiko membabitkan kebocoran dan tumpahan kimia berbahaya serta terbabit secara langsung menangani insiden letupan gas dan tsunami.

“Lihat saja setiap hari media massa melaporkan berita mengenai anggota bomba yang menjalankan tugas sukar dan bukan saja menjurus kepada aspek kebakaran semata-mata.

“Ini dibuktikan dengan statistik pada 2015 menunjukkan sebanyak 39,101 panggilan membabitkan kes penyelamatan dan khidmat kemanusiaan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang membabitkan khidmat menangkap ular, operasi memusnah serangga, kes bunuh diri dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2016 di pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli merasmikan majlis itu.

Bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamat Negara’, program itu diserikan dengan pemeriksaan kawalan kehormat, perarakan anggota perbarisan, pertunjukan kebombaan serta perarakan jentera bomba membabitkan 1,620 peserta daripada 22 kontinjen selain 62 unit jentera perarakan.

Abdul Rahman berkata, dedikasi warga bomba harus menerima pujian kerana mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan nyawa bagi memastikan keselamatan masyarakat, alam sekitar dan pembangunan negara terpelihara.

Katanya, pada tahun lalu, taksiran harta diselamatkan JBPM sebanyak RM30 bilion dan analisis taksiran kerugian berjumlah RM4.4 bilion akibat kebakaran di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:14 AM