DR Hadariah (kanan) pada Forum Pengurusan Sistem Maklumat, Isu dan Cabaran Masa Kini di UiTM Puncak Perdana, Shah Alam.
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) disaran supaya merebut peluang memohon kira-kira 1,000 geran dalaman universiti yang ditawarkan setiap tahun bagi memantapkan lagi kualiti pengajaran mereka.

Ia berikutan geran insentif daripada Penyelidikan Penilaian Malaysia (MyRA) itu dilihat kurang mendapat sambutan dalam kalangan pensyarah yang bertujuan meningkatkan penyelidikan.

Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) UiTM Prof Dr Hadariah Bahron berkata, geran dalaman universiti itu dilancarkan tahun lalu bagi mempertingkatkan pembabitan pensyarah dalam bidang penyelidikan.

“Empat kategori geran ditawarkan dan dua daripadanya ialah Lestari, ia bagi meningkatkan penyelidikan serta Akademik dan Penyelidikan Asimilasi (ARAS) untuk penyelidikan yang boleh meningkatkan mutu pembelajaran.
“Dua lagi kategori geran ditawarkan ialah Geran Insentif Penyelidikan (GIP) bagi penyelia (pensyarah), ia untuk kegunaan penuntut di bawah seliaannya yang berdepan masalah kewangan dalam melakukan penyelidikan dan Bestari, ia bagi pensyarah yang giat menjalankan penyelidikan dan memerlukan bantuan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Penyelidikan, Inovasi, dan Keusahawanan anjuran Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM) di UiTM Puncak Perdana di sini, semalam.

Turut hadir Dekan FPM Prof Madya Dr Wan Ab Kadir Wan Dollah.

Sementara itu, Dr Wan Ab Kadir berkata, karnival sehari yang dianjurkan setiap tahun itu bertujuan mengimarahkan semangat dalam kalangan pensyarah dan mahasiswa untuk melakukan kerja penyelidikan.

“Ia pada asasnya melatih penuntut menjadi usahawan dan mendedahkan ilmu penyelidikan bagi menggalakkan mereka melakukan inovasi dan mengeluarkan lebih banyak idea baru,” katanya.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang karnival seperti jualan, klinik penyelidikan, ceramah keusahawanan dan derma darah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 5:31 AM