RUMAH panjang yang musnah dalam kebakaran di Long Urun.
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


Belaga: Lebih 200 penghuni Rumah Panjang Uma Badeng, Long Urun, di sini, hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, rumah panjang 27 pintu itu seratus peratus musnah.

Penghuni rumah, Asmidy Agau, 65, berkata, dia yang berada di Miri bergegas pulang sebaik dimaklumkan rumah panjangnya terbakar.

Menurutnya, difahamkan, tidak ramai penghuni berada di rumah kerana masing-masing sibuk bekerja.

“Punca kebakaran dan keadaan rumah yang musnah masih belum diketahui kerana saya masih dalam perjalanan pulang ke kampung yang mengambil masa kira-kira lima jam.

“Kebanyakan penghuni dikatakan gagal menyelamatkan harta benda kerana api merebak dengan pantas,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di Hata Gobel berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.53 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu terpaksa mengambil masa lima jam ke lokasi itu menggunakan jalan balak.

“Bomba dijangka tiba di lokasi kejadian pada jam 6 petang.

“Pasukan penyiasat akan berada di lokasi kejadian untuk mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.

Menurutnya, bomba menggunakan jalan balak untuk ke lokasi kejadian, selain berdepan masalah komunikasi di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 5:59 AM