SUSPEK diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke mahkamah.
Ahmad Ismail


Segamat: Seorang lelaki yang menawarkan diri untuk membayar barangan dicuri seorang wanita di pasar raya di Taman Yayasan, Buloh Kasap dekat sini, ditahan jam 7.30 petang kelmarin kerana bersubahat bersama wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, suspek lelaki berusia 42 tahun itu rupa-rupanya adalah teman lelaki kepada suspek wanita dan mereka bersubahat mencuri barangan pasar raya berkenaan bernilai RM300.

“Pada mulanya, ketika pemeriksaan dilakukan anggota Balai Polis Buloh Kasap yang melakukan rondaan rutin di kawasan pasar raya berkenaan, suspek lelaki mendakwa tidak mengenali suspek wanita berusia 41 tahun, malah menawarkan diri untuk membayar nilai barangan dicuri kononnya bersimpati.

“Bagaimanapun, anggota kami curiga lantas melakukan pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya itu sebelum mendapati suspek lelaki turut mencuri beberapa barangan keperluan harian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam.

Menurut Mohd Kamil, rakaman CCTV menunjukkan suspek lelaki meletakkan barangan berkenaan ke dalam troli sebelum melalui lorong pintas keluar daripada pasar raya tanpa disedari kakitangan.

Barangan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada suspek wanita yang menunggu di luar sebelum ia diletak di raga motosikal.

“Suspek wanita turut menggunting kanvas di tepi pasar raya untuk menutup beberapa tin susu pekat manis dicuri.

“Siasatan awal mendapati pasangan itu pada awalnya merancang bertemu di sekitar bandar Segamat sebelum ke pasar raya berkenaan untuk mencuri barangan keperluan harian terbabit,” katanya.

Menurut beliau, kejadian berkenaan disedari anggotanya yang curiga melihat suspek wanita meletakkan barangan berkenaan di raga motosikal tanpa membuat pembayaran.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui 24 tin susu pekat manis, beberapa bungkusan Milo, seberkas pemetik api, beberapa tin sardin selain sotong.

“Suspek lelaki yang tidak mempunyai kerja tetap itu berasal dari Muar manakala suspek wanita pula berasal dari Pahang.

“Kedua-duanya kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Semakan rekod motosikal digunakan mendapati ia dilaporkan hilang di sekitar Muar beberapa bulan lalu. Suspek lelaki turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes curi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:18 AM