SULTAN Ibrahim memandu Trak Mack disambut rakyat yang menunggu di tepi jalan di Kampung Lukut Kota Tinggi.
Mohamad Fahd Rahmat dan Mohd Fahmi Mohd Yusoff


Kota Tinggi: Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 memberi kenangan tersendiri buat dua wanita warga emas di Kampung Lukut di sini, semalam apabila ditemukan dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar selepas kali terakhir berjumpa hampir 40 tahun lalu.

Rahmah Awang, 78, dan Mariamah Jusoh, 76, ditemukan semula dengan baginda apabila rombongan KMJ 2016 singgah ke lokasi keempat pada hari pertama di kampung berkenaan, semalam.

Anak Mariamah, Nurashikin Udin, 45, berkata, kunjungan Sultan Ibrahim mengimbau kenangan silam ibunya pada 1978 ketika baginda menjalani latihan ketenteraan di sekitar kawasan Kampung Lukut.

“Satu malam, Sultan Ibrahim singgah ke rumah mak cik Rahmah untuk berehat dan makan malam bersama enam rakan baginda. Ibu memberitahu, ketika itu dia tidak sangka putera kepada Almarhum Sultan Iskandar sudi singgah untuk makan malam dan naik ke rumah kami di Lorong Amanah.

“Ketika itu, juadah yang disediakan adalah telur dadar, sardin selain masak lemak,” katanya.

Nurashikin berkata, ibunya dan penduduk kampung berbesar hati selain terharu kerana Sultan Ibrahim masih mengingati peristiwa berkenaan.

Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi dan cenderahati kepada Rahmah serta Mariamah berbentuk barangan keperluan harian.

Baginda turut meluangkan masa sejam di Kampung Lukut untuk santapan tengah hari bersama lebih 3,000 penduduk setempat selain berkenan menyaksikan pameran kucing tercantik di Dewan Semerah Padi Kampung Lukut.

Terdahulu, Sultan Ibrahim mencemar duli melihat dan turut serta dalam acara sukan rakyat di padang Sekolah Rendah Kebangsaan FELDA Inas, Kota Tinggi.

FELDA Inas adalah destinasi ketiga dikunjungi Sultan Ibrahim pada hari pertama KMJ 2016 selepas acara perasmian di Dataran Bandaraya Johor Bahru dan gerai Majlis Daerah Kulai.

Baginda tiba kira-kira jam 10.15 pagi untuk bertemu rakyat yang membanjiri padang sekolah seawal jam 8 pagi bagi memeriahkan KMJ 2016.

Turut berangkat Temenggong Johor Tunku Idris Shah; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman; dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Ismail Karim; Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd; Yang Dipertua Majlis Daerah Kulai Abdul Rahman Salleh; serta Pegawai Daerah Kulai Abdul ‘Alim Abd Shukor.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim berkenan melawat khemah pameran serta menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin, warga emas dan anak yatim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:12 AM