Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Kerana risaukan anak lelakinya, seorang ibu berembun menunggu hingga jam 5.30 pagi apabila anaknya antara 298 yang ditahan dan diperiksa dalam Op Samseng Jalanan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Melaka Sentral di sini, semalam.

Menurut wanita berusia 40-an itu yang tinggal di Cheng, dia resah dan seperti ada yang tidak kena apabila anak lelaki yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keluar rumah sejak jam 8 malam untuk bertemu rakan dari Negeri Sembilan belum pulang walaupun sudah lewat.

“Pada jam 10 malam, saya menghubungi anak untuk bertanya lokasinya dan dia memberitahu ketika itu berada di Bukit Beruang, namun hati saya tidak tenang kerana dia belum sampai di rumah.

“Selepas itu saya menghubunginya beberapa kali sehingga jam 12 tengah malam, saya rasa ditipu apabila tiba-tiba anak memberitahu berada di Melaka Sentral,” katanya ketika menunggu anaknya menjalani pemeriksaan sebelum dibebaskan.

Katanya, apabila menyedari anaknya ditahan, dia mempersoalkan tindakan anaknya kerana tidak segera pulang selepas bertemu rakan di Bukit Beruang, sebaliknya ke Melaka Sentral.

Dalam operasi lapan jam itu, polis menutup laluan keluar dan masuk ke Melaka Sentral sebelum menahan penunggang motosikal dan pemandu kereta untuk diperiksa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, operasi membabitkan lebih 100 pegawai dan anggota trafik dibantu anggota jabatan siasatan jenayah, narkotik serta beberapa lagi jabatan lain.

“Kita melakukan pemeriksaan ke atas 298 individu, 270 motosikal dan 11 kereta. Seramai 29 individu diarahkan menjalani ujian saringan air kencing, namun semua mereka bebas pengaruh dadah.

“Namun, kami menyita 35 motosikal dan mengeluarkan 125 saman kerana pelbagai kesalahan, selain itu hasil operasi sama kami menyelesaikan 40 waran tangkap membabitkan lelaki berusia 17 hingga 28 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:37 AM
Digital NSTP Subscribe