X
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Persatuan Anak Muda Islam Malaysia (AMIM) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melakukan semakan ke atas botol air minuman yang mempunyai lambang salib seperti diviralkan di media sosial sejak minggu lalu.

Ketua Sekretariatnya Yusuf Azmi berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang mahukan penjelasan mengenai status minuman itu sama ada ia bercanggah dari segi akidah atau sebaliknya.

Katanya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan Islam, AMIM melihat ia akan menjadi satu topik yang menyentuh sensitiviti agama apatah lagi wujud dakwaan ia diedarkan secara percuma kepada orang ramai.

“Saya cadangkan JAKIM dan Kementerian Kesihatan membuat semakan sama ada ia menjadi masalah dari sudut agama dan kesihatan. Penggunaan tanda salib pada barangan secara terbuka bukan perkara baharu kerana sebelum ini ada produk lain seperti baju dan permainan kanak-kanak dijual di pasaran.

“Kami ingin menegaskan ini bukan perkara main-main kerana ia membabitkan akidah. Kalau ia diedarkan di upacara keagamaan dan gereja, tiada masalah kerana di Malaysia kita bebas mengamalkan agama,” katanya,

Isu berkenaan menjadi viral di laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp sehingga mengundang reaksi kurang senang masyarakat Islam yang inginkan penjelasan lambang berupa salib berwarna merah pada botol minuman berkenaan.

Ia dikatakan diedarkan secara percuma di pasar raya di Sri Manjung, Perak dan disebarkan secara meluas di media sosial sejak lebih seminggu lalu.

Yusuf berkata, satu penelitian berhubung apa juga status barangan seumpama itu perlu diberikan kepada pengguna dan pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi mencari kaedah terbaik berhubung perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 7:13 AM
Kabinet Malaysia 2020