LIM bersama bayinya.
MUHAMMAD Ammar bersama Marina dan Che Mohd Asri.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seorang bayi dan kanak-kanak yang menghadapi masalah jantung memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.

Muhammad Ammar Che Mohd Asri, 5, dari Tumpat, Kelantan mengalami masalah ‘Tetralogy of Fallot’ (TOF) iaitu penyakit jantung konginetal sianotik sejak berusia sebulan memerlukan RM50,000 untuk menjalani pembedahan segera.

Ibunya, Marina Muhammad, 45, berkata, anaknya dikesan menghidap penyakit itu selepas sukar bernafas normal, selain sering kebiruan.

“Ammar tidak boleh aktif seperti kanak-kanak lain dan memerlukan pembedahan segera bagi membetulkan kecacatan struktur jantungnya iaitu TOF,” katanya.

Beliau berkata, suaminya, Che Mohd Asri Che Hassan, 52, hanya bekerja sebagai juruteknik komputer dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Keadaan sama turut dialami seorang bayi lelaki, Lim Zi Xuan, 11 bulan, yang mengalami masalah jantung berlubang dan memerlukan kos pembedahan RM45,000.

Bapanya, Lim Wei Lee, 31, bekerja sebagai pelayan di kedai kopi di Nibong Tebal, Pulau Pinang tidak mampu menampung kos pembedahan anaknya kerana hanya berpendapatan RM70 sehari.

“Saya berharap dengan bantuan orang ramai, anak saya boleh hidup normal dan membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Lebih memilukan, ibu bayi itu dikenali sebagai Vo Thi Thuy, 30, warga Vietnam tidak dapat dihubungi dan dikesan.

“Doktor mengesahkan anak saya menghidap jantung berlubang selepas empat bulan dilahirkan.

“Pernafasan anak saya berbunyi dan tidak seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Media Prima- NSTP Humanitarian Fund (Maybank: 5141 0532 3170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:24 AM