KENDERAAN pacuan empat roda yang ditinggalkan dalam anak sungai selepas gagal diseludup ke negara jiran.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Bau: Bunyi bising kenderaan tersangkut dalam lumpur di tebing anak sungai dekat Serikin di sini, membongkar cubaan menyeludup kenderaan pacuan empat roda ke negara jiran, Indonesia, semalam.

Kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max kelabu itu ditemui anggota dari sub unit Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja yang melakukan Operasi Serkap di Serikin, di sini jam 6.30 pagi.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, ketika melakukan rondaan, anggota bertugas terdengar bunyi bising kenderaan berhampiran anak sungai sebelum membuat tinjauan di lokasi itu.

Menurutnya, mereka mendapati pacuan empat roda tersangkut ketika menyeberang anak sungai, dipercayai cuba melepasi sempadan negara untuk ke Indonesia.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota kami, seorang lelaki yang memandu kenderaan terbabit segera keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke hutan berhampiran.

“Kami menghubungi polis bagi memaklumkan mengenai penemuan kereta terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, kehilangan pacuan empat roda itu menjadi viral di Facebook apabila pemiliknya meminta kerjasama orang awam membantu mencari kenderaan yang dicuri.

Kenderaan itu disedari hilang oleh pemiliknya di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa di Kuching pada jam 1.29 pagi, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:11 AM