TUANKU Hajah Haminah menerima cenderamata daripada Pengarah Galleria Al-Atiyah, Tuty Sumarni Hoessein Enas.
Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Pelbagai pengisian berguna dimuatkan menerusi Karnival Muslimah selama dua hari bermula semalam bagi menarik orang ramai khususnya wanita menerusi topik diskusi dan perbincangan diadakan berkaitan wanita.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) diadakan besar-besaran di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, menyediakan 50 gerai pameran dan jualan dibuka jam 9 pagi hingga 10 malam membabitkan pelbagai produk Muslimah.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah semalam berkenan melancarkan program serta mengurniakan sumbangan YAYSH kepada 200 anak yatim dan ibu tunggal terpilih.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha dan Pengarah JAWI Paimuzi Yahya.

Othman berkata, program itu satu usaha menjemput orang ramai mendekati masjid dengan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan dan pengisian ilmu.

Katanya, program itu bermanfaat dan menepati keperluan generasi Muslimah moden selari dengan karnival yang diadakan khusus untuk golongan wanita.

“Karnival Muslimah merangkumi majlis ilmu, pertunjukan, pameran, perkhidmatan dan jualan memeriahkan lagi suasana.

“Program dijadualkan sangat bermanfaat dan selari keperluan generasi Muslimah moden ketika ini. Ada perbincangan ilmiah selain pengisian secara interaktif dan santai,” katanya.

Antara penceramah dijemput Ustaz Harryanto Rizal Rokman yang menyampaikan ceramahnya bertajuk Wanita Itu Bidadariku selain forum diadakan hari ini bertajuk Hak-Hak Wanita Menurut Syarak dan Perundangan Islam yang dibincangkan dua panel iaitu Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Turut diadakan hari ini ialah Tutorial Tudung, Pertandingan Pemakaian Tudung serta ceramah bertajuk Kecintaan Rasulullah SAW Terhadap Isteri-Isteri Baginda yang disampaikan pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Selain itu, Paimuzi berkata, pihaknya mengalu-alukan pengurusan masjid lain menganjurkan program seumpama itu bagi menggalakkan orang ramai mendekati masjid.

“Kita tidak boleh hanya melihat fungsi masjid sebagai tempat ibadah semata-mata, tetapi harus dilihat sebagai pusat pertemuan menerusi aktiviti kemasyarakatan, sekali gus menggalakkan umat Islam ke masjid.

“Ini bukan program kali pertama, tetapi kali ini ia diadakan secara besar-besaran. Kita harap masjid lain dapat menganjurkan program seumpama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:17 AM