PESERTA bertanya soalan sempena Simposium Riba 2016, semalam.
Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Umat Islam yang membabitkan diri dengan pelaburan dinasihatkan supaya membuat penyelidikan dan mendapatkan panduan daripada penasihat bertauliah terlebih dulu bagi memastikan ia patuh syariah.

Pengurus Besar Bahagian Syariah Bank Islam, Mohd Nazri Chik berkata, kini terdapat banyak skim pelaburan yang ditawarkan oleh pihak tertentu dan syarikat khidmat kewangan tetapi tidak melalui proses halal yang betul.

“Ada dalam kalangan mereka mendakwa produk patuh syariah tetapi hakikatnya ia tidak wujud berikutan pihak itu tidak mempunyai penasihat bertauliah sebelum menawarkan produk kepada pelanggan.

“Sebagai pengguna kita perlu pastikan semua pelaburan yang kita lakukan termasuk skim pelaburan berkonsepkan pemasaran pelbagai peringkat (MLM), emas dan saham betul-betul berlandaskan syariah,” katanya ketika ditemui di Simposium Riba 2016, semalam.

Simposium itu dianjurkan secara kerjasama Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan Al-Naqiy Islamic Solutions Sdn Bhd.

Lebih 300 peserta membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi, swasta dan orang awam mengikuti seminar selama sehari itu yang diadakan di Hotel Premiera di sini.

Antara yang memberi ceramah adalah Profesor Madya Dr Aznan Hasan, Mohd Nazri Chik, Prof Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Ahmad Husni Abdul Rahman dan Dr Waleed Abdulhakeem.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Mohd Rais Alias, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman dan Pengarah Urusan Al Naqiy Aida Shiza Ismail Zakri.

Pegawai bank dari Brunei, Hanifah Jenan ketika ditemui berkata, program seperti itu banyak memberi manfaat dan kesedaran berhubung bahaya riba.

“Selama ini kita sudah tahu mengenai riba bagaimanapun tidak secara mendalam, dengan menghadiri seminar begini dan berpeluang mendengar ceramah dari ilmuan dan pakar sendiri.

“Riba ini bukan saja dalam urusan perbankan, kadang-kadang kita tidak perasan ia ada dalam urusan dan kehidupan harian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rais menyeru umat Islam menunai kewajipan berzakat melalui institusi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

Beliau turut memaklumkan 11 kaunter akan dibuka setiap hari sepanjang Ramadan ini termasuk Sabtu dan Ahad dari jam 8.15 pagi hingga jam 4.30 petang.

Kaunter itu adalah di Taman Shameelin Perkasa, Cheras; Wangsa Maju, Putrajaya Presint 9 dan 15, Anjung Niaga di Taman Tun Dr Ismail, Daruzzakah di Lorong Haji Hussein 2, Kampung Baru, Masjid Al Iman Al Ghazali, Kepong, Masjid Abd Rahman Auf di Jalan Puchong, Masjid Negara, UTC KL, Pudu Sentral dan Labuan Times Square.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:24 AM