AHMAD Razif (kanan) dibantu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim memaku dinding rumah penduduk di Kampung Batin.
MENTERI Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman (kiri) mengambil kesempatan membeli ketam ketika melawat pasar selepas Majlis Minum Pagi Bersama Rakyat di Pasar Kedai Buluh, Marang.


Kuala Terengganu: Dalam usaha untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan nelayan di Terengganu, kerajaan negeri merancang mewujudkan satu projek khas di daerah Kuala Nerus.

Dikenali Projek Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) di Seberang Takir, ia menjadi projek pertama seumpamanya di Malaysia menerusi satu skim pembasmian kemiskinan untuk komuniti nelayan yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC).

AKN akan dibangunkan sebagai zon penangkapan ikan laut bersepadu dan mampan merangkumi pembinaan Terminal Perikanan Akuapolitan, Perkampungan Pemprosesan Ikan Akuapolitan dan Pusat Penyelesaian Menyeluruh Perikanan (Akuapolitan Total Marine Solutions Centre).

AKN menyasarkan pembabitan kira-kira 500 peserta dalam industri penangkapan ikan dan perusahaan yang berkaitan yang mana 90 peratus daripada mereka berpendapatan rendah dalam kategori B40.

Projek perintis itu membabitkan kos RM180 juta dilaksanakan secara dua fasa bermula tahun ini.

Fasa pertama akan dibangunkan di kawasan tanah seluas lapan hektar di Kampung Seberang Pak Abu manakala bagi fasa kedua, membina kemudahan termasuk perumahan untuk nelayan seluas lebih satu hektar di Kampung Batin.

Kerajaan negeri juga bakal memulakan kerja pembangunan semula Kompleks Pasar Payang dan pengindahan persekitarannya, di sini, bagi menyediakan prasarana perniagaan yang lebih sempurna.

Ia membabitkan kos pelaksanaan berjumlah RM72 juta dengan perubahan konsep mengikut aspirasi rakyat.

Kerja pembangunan semula itu dijangka siap akhir 2018 dengan pembinaan Pasar Payang baru yang dilengkapi eskalator, surau, tempat letak kereta, jambatan udara, satu unit menara jam dan landskap.

Bidang pendidikan turut menjadi fokus kerajaan negeri dan ia terbukti apabila pencapaian murid serta pelajarnya cemerlang hingga mampu mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan utama di negara ini.

Kewujudan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam bidang pendidikan.

SMIYT yang dibangunkan dengan konsep untuk melahirkan golongan profesional hafiz dan hafizah, selain menguasai ciri quranik, ensiklopedik dan ijtihadik kini sudah ada di Besut, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Berang, Kuala Nerus, Kemaman dan Setiu.

Sejak penubuhan pertamanya di Besut pada 1996, pelbagai kejayaan dilakar pelajarnya termasuk tiga pelajar SMIYT Besut memenangi pingat emas di Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Peringkat Antarabangsa di Kaohsiung, Taiwan pada 21 Disember tahun lalu.

Pelajar SMIYT Kuala Terengganu turut meraih pingat emas dan anugerah khas menerusi ciptaan mereka dikenali ‘Dr Duster With Green Cleaner’ dalam pertandingan Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation And Technology Exposition (IPITEX) 2016 yang berlangsung di Bangkok International Trade Centre (BITEC) Bangkok pada 2 hingga 6 Februari lalu.

Pasukan reka cipta sekolah itu terdiri daripada lapan pelajar yang digelar Al Fateh Inventors turut memenangi anugerah yang sama dalam pertandingan reka cipta Kaohsiung International Invention & Design Expo (KIDE 2015) di International Convention Center Kaohsiung (ICCK) Kaohsiung, Taiwan pada 3 hingga 6 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 6:44 AM