Shahiruddin (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang di dewan Kampung Kuala Gali, Raub, kelmarin
Mohd Rafi Mamat


Raub: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan peruntukan sebanyak RM1.9 juta bagi menaik taraf sistem bekalan elektrik di daerah ini membabitkan dua projek yang dapat memberikan kemudahan kepada pengguna.

Projek itu membabitkan kerja menukar kabel sepanjang sembilan kilometer di kawasan Dong, Lurah Bilut dan Tras selain mewujudkan sistem suabalik (Rim Sistem) di kawasan Ulu Dong.

Pengurus Besar TNB Pahang Datuk Sharuddin Mohd Simin berkata, projek menaik taraf dilakukan TNB itu bagi menampung permintaan tenaga elektrik yang semakin bertambah di kawasan terbabit.

Katanya, kepesatan pembangunan di daerah ini memaksa TNB berusaha menaik taraf pelbagai peralatan seperti kabel, janakuasa dan peralatan lain bagi mengelak berlaku gangguan bekalan elektrik.

Katanya, sepanjang projek menaik taraf dilakukan pengguna yang terbabit perlu bersabar.

“TNB memberi jaminan, gangguan bekalan elektrik pasti berlaku dalam tempoh tidak terlalu lama hingga menjejaskan aktiviti masyarakat.

“Walaupun TNB menyediakan peruntukan besar bagi memberi kemudahan bekalan elektrik kepada pengguna, namun masih mengekalkan caj pada kadar yang dianggap rendah.

“Justeru, saya berharap pengguna dapat menggunakan elektrik secara berhemah bagi mengelak bil mereka bertambah hingga membebankan,” katanya pada Program Bersama Komuniti peringkat negeri di Dewan Kampung Kuala Gali, di sini, kelmarin.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Sempena program itu, TNB turut menyumbangkan RM20,000 untuk kegunaan masyarakat setempat mengadakan aktiviti di peringkat kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 7:59 AM