ANTARA wanita tukang urut yang ditahan dalam Ops Noda.
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Tisu basah, puluhan kondom dan minyak pelincir yang sudah digunakan antara bukti ditemui polis dalam serbuan di lima rumah urut berasingan di Kuala Lumpur, Klang serta Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Pada serbuan Skuad Taktikal Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman itu, 38 individu termasuk 17 wanita ditahan manakala 25 wanita lain diselamatkan.

Serbuan membabitkan tiga premis di Bandar Bukit Tinggi, Klang manakala dua yang lain masing-masing di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan Jalan Tun Ismail, Seremban.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pada Ops Noda itu, 21 lelaki membabitkan penjaga, pekerja premis dan pelanggan ditahan dengan tiga daripadanya warga asing.

Seramai 17 wanita yang ditahan membabitkan pelayan pelanggan warga asing.

“Siasatan mendapati premis urut itu menyediakan perkhidmatan urut kepada pelanggan dan pada masa sama menawarkan khidmat seks di bilik khas di dalam premis terbabit.

“Bayaran dikenakan untuk khidmat seks antara RM140 hingga RM170. Kami turut merampas RM7,174, resit dan dokumen berkaitan perniagaan, pelbagai peralatan hiburan dan karaoke, 49 kondom, 27 tuala, 20 minyak pelincir dan enam tisu basah.

“Barangan rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, IPD Klang Utara, IPD Seremban dan IPD Klang Selatan untuk, tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen iaitu kesalahan memasuki Malaysia tanpa permit sah, Seksyen 4 Akta Hiburan (tiada lesen hiburan), Seksyen 55B Akta Imigresen (menggaji pekerja asing tanpa permit g sah), Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1963 (menyalahgunakan pas lawatan) dan Seksyen 12 ATIPSOM (kesalahan mengeksploitasi dan memperdagangkan manusia bagi tujuan aktiviti seks).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 8:01 AM