ANTARA 12 lembu yang dicuri ditemui dalam kandang suspek ‘Geng Lembu Lipis’.
ANTARA 12 lembu yang dicuri ditemui dalam kandang suspek ‘Geng Lembu Lipis’.
Shahrul Nizam Mohamad


Kuala Lipis: Kegiatan licik sindiket dikenali ‘Geng Lembu Lipis’ yang bergiat aktif melakukan jenayah curi lembu dengan menyumbat haiwan ternakan itu dalam kereta tumpas apabila empat ahli kumpulan berkenaan ditahan polis di depan premis di bandar ini dan sekatan jalan raya di Kilometer 93, Jalan Lipis-Merapoh, di sini, kelmarin.

Dalam tangkapan jam 3.30 petang hingga 12.30 tengah malam, suspek berusia 22 hingga 47 tahun masing-masing dari daerah ini, Temerloh, Triang dan Gua Musang, Kelantan, ditahan bersama wang RM2,550 dan 12 lembu yang ditemui di dalam kandang milik seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum tangkapan, polis menerima aduan daripada mangsa berusia 60 tahun dari FELDA Chegar Perah, di sini, pada 20 Mei lalu berhubung kehilangan haiwan ternakan miliknya.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang suspek di depan kedai makan di Jalan Kubang Rusa, Merapoh, di sini, yang kemudiannya membawa anggota polis ke kandang.

“Di kandang itu, polis menemui 12 lembu yang disembunyikan,” katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, polis menjalankan gerakan memburu menahan tiga lagi suspek ahli kumpulan berkenaan yang dipercayai dalam perjalanan ke bandar ini melakukan jenayah.

Katanya, siasatan mendapati, seorang suspek mendakwa haiwan ternakan itu dibawa menggunakan kereta sebelum dipindahkan dalam lori milik suspek.

“Suspek memaklumkan membawa lembu itu kepada pembeli di Gua Musang,” katanya.

Menurutnya, polis merampas sebuah kereta Proton Wira dan lori milik suspek yang digunakan untuk mengangkut haiwan ternakan itu.

Abdul Razak berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai rangkaian dalam jenayah curi lembu, namun siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti dalang sebenar kegiatan itu.

“Semua suspek ditahan reman selama empat hari di Lokap Balai Polis Kuala Lipis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 8:55 AM