SERBUAN KPDNKK di premis menjual aksesori kenderaan tiruan di Jinjang Selatan.
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Tindakan seorang peniaga menjual produk tiruan jenama kereta nasional membawa padah apabila premisnya di Jinjang Selatan, di sini, diserbu pihak berkuasa, kelmarin.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur dengan kerjasama PROTON Holdings Bhd (PROTON) berjaya merampas pelbagai barangan tiruan bernilai hampir RM1,086.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, semua premis diserbu selepas didapati menjual produk tiruan jenama Proton hasil risikan pihaknya.

Katanya, 95 unit peralatan alat ganti Proton berjaya dirampas antaranya penapis minyak yang disyaki tiruan.

“Kita turut mengambil keterangan pemilik dan pekerja untuk membantu siasatan lanjut bagi mengenalpasti pembekal barangan tiruan berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 8 (1)(b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan keselamatan nyawa pengguna kenderaan.

Sehubungan itu, Wan Mohd Yusof menyarankan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli alat ganti kenderaan yang dikhuatiri tiruan.

Katanya, orang ramai boleh membuat aduan dengan menghubungi mana-mana pejabat KPDNKK untuk tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:00 AM