SERAMAI 20 penduduk kampung membantu mengusung jenazah Majidi, semalam.
myMetro

Padang Terap: “Arwah seperti tidak sabar mahu tinggal di rumah baru yang akan dibina khas di sebelah kedai runcitnya sebaik keluar dari hospital, tetapi Allah lebih sayangkannya,” kata Mohd Shahidan Abu Bakar.

Mohd Shahidan, 38, abang kepada lelaki obesiti Majidi Abu Bakar, 33, yang meninggal dunia jam 11.40 malam kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Alor Setar (HAS).

Menurutnya, adiknya yang mempunyai berat badan 300 kilogram (kg) selain mengalami kaki untut sejak berusia 16 tahun menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung.

Katanya, anak bongsu daripada lapan beradik itu dibawa ke HAS untuk mendapatkan rawatan susulan kaki kiri yang mengalami untut semakin membengkak selain jangkitan kuman.

“Kami berbincang dengan doktor semalam (kelmarin) dan menjangkakan dia akan menjalani pembedahan selepas Aidilfitri, namun keadaan Majidi semakin kritikal dan kelihatan lesu sejak seminggu lalu.

“Arwah yang turut mempunyai penyakit darah tinggi, paru-paru berair dan lelah menghembuskan nafas terakhir di sisi saya, dua kakak dan abang ipar malam tadi (kelmarin),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Barokhas, Jalan Pedu, di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Barokhas, jam 3 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 10:13 AM