ECAH (kanan) berehat di rumah bersama ahli keluarganya.
ECAH (kanan) berehat di rumah bersama ahli keluarganya.
myMetro

Sabak Bernam: Hampir tiga bulan selepas keluar hospital pada 4 Mac lalu, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, atau Ecah yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori dalam kejadian 18 Januari lalu kini semakin selesa dan gembira dengan hidup barunya.

Rutin hariannya kini selain mengikuti sesi persekolahan, berehat di rumah serta menjalani rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Ecah gembira berikutan orang sekeliling terutama adik beradik, ibu bapa, saudara-mara, kawan serta pelbagai pihak tidak henti-henti memberikan semangat kepadanya.

Malah sehingga hari ini Ecah masih menerima kunjungan orang ramai yang bertanya khabar selain menghulurkan sumbangan meskipun tidak seperti dulu.

Ecah berkata, dia tidak sabar menunggu masa sesuai memakai kaki palsu yang membolehkannya berjalan seperti sebelum ini.

“Saya kini semakin pulih daripada kejadian itu, malah tidak sabar memakai kaki palsu, namun perlu mendapatkan kebenaran daripada doktor.

“Hujung minggu emak dan ayah bawa saya jalan-jalan selain menghadiri temu janji di hospital,” katanya di rumahnya baru-baru ini sempena majlis kesyukuran yang diadakan untuknya.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap itu berkata, walaupun tidak mampu berjalan, namun dia terharu dengan sokongan semua pihak.

Di sekolah, Ecah mempunyai pembantu ketika mahu ke tandas, kantin atau perpustakaan walaupun dia berusaha melakukannya sendiri.

“Saya perlu berdikari, tapi ramai rakan sedia membantu apabila saya perlukan,” katanya.

Sementara itu, ibu Ecah, Maimunah Md Razali, 48, berkata, anaknya itu menunjukkan perkembangan positif sejak keluar dari hospital awal Mac lalu.

“Ecah lebih gembira sekarang malah kakinya juga semakin baik namun rawatan susulan masih dilakukan.

“Berdasarkan kata doktor, Ecah boleh pakai kaki palsu hanya selepas setahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 10:31 AM