Orang ramai beratur panjang akibat perkhidmatan aerotren KLIA tergendala.
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Perkhidmatan aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sekali lagi tergendala pagi semalam dipercayai akibat masalah teknikal selepas kali terakhir berdepan gangguan sama awal April lalu.

Difahamkan, perkhidmatan aerotren mula tergendala kira-kira jam 8. 30 pagi, sekali gus menimbulkan situasi panik terutama dalam kalangan penumpang yang ingin berlepas ke destinasi masing-masing.

Keadaan itu menyebabkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terpaksa menggunakan van dan bas berganti-ganti (shuttle) bagi membawa masuk dan keluar penumpang masing-masing dari terminal utama ke bangunan satelit.

Bagaimanapun, selepas hampir dua jam terganggu, satu daripada dua aerotren itu mula beroperasi semula kira-kira jam 10.30 pagi manakala, sebuah lagi tren masih menjalani proses penyelenggaraan.

Bagi mengelakkan kesesakan, MAHB masih menggunakan perkhidmatan van dan bas berganti-ganti bagi membawa penumpang kedua-dua bangunan berkenaan.

Sementara itu, salah seorang penumpang yang enggan dikenali berkata, gangguan pada aerotren itu menyebabkan ratusan penumpang berada dalam kebimbangan termasuk gusar terlepas penerbangan.

“Walaupun saya tiada di tempat kejadian, saya faham keadaan panik itu kerana pernah melalui saat berkenaan sebelum ini,” katanya.

Katanya, dia mahu anggota keselamatan yang bertugas di lapangan terbang segera mengawal keadaan sekiranya berdepan situasi panik berkenaan bagi mengelak kesesakan teruk dan tidak terkawal.

Sementara itu, MAHB menerusi akaun Twitter mereka semalam berkata, pihaknya menjangkakan KLIA akan menerima kehadiran penumpang yang tinggi bagi tempoh dua minggu akan datang berikutan musim cuti sekolah.

“Justeru penumpang yang berurusan di KLIA dinasihatkan supaya tiba awal di lapangan terbang bagi mengelak kesesakan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan MAHB supaya memberi laporan segera berhubung masalah berkenaan.

Sambil menyatakan rasa sedih dan kesal, Liow berkata, insiden kerosakan aerotren dalam perkhidmatan yang menghubungkan terminal utama KLIA dengan bangunan satelit itu tidak seharusnya berlaku.

“Kami memohon maaf kepada para penumpang atas segala kesulitan yang dialami.

“Mereka (MAHB) perlu meneliti perkhidmatan aerotren. Jika tren itu sudah lama oleh kerana digunakan lebih 20 tahun, jika perlu, mereka harus menukarnya. Jika perlu dibaiki, lakukanlah penyenggaraan... itu tanggungjawab MAHB untuk menyediakan khidmat yang terbaik kepada penumpang,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 7:19 AM