SERPIHAN motosikal mangsa yang hancur selepas dilenyek lori balak.

Gua Musang: “Arwah baru nak menyuap makanan sebelum dirempuh lori balak berkenaan,” kata Muhd Aidil Muhd Zaki, 19, rakan Abdul Rahman Mohamed Zaidi, 23, yang maut dirempuh lori balak dalam kejadian membabitkan lima kenderaan di Kilometer 41.2, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Bandar Chiku, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, Abdul Rahman maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat dirempuh dan diseret sejauh 10 meter oleh lori itu.

Terdahulu, lori berkenaan turut melanggar sebuah kereta Proton Wira dan tiga motosikal yang diparkir di bahu jalan sebelum merempuh kedai makan berkenaan.

Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Pemandu lori Ghazali Yazid, 56, dan seorang lagi pelanggan kedai makan, Yusman Azuan Syakri, 21, turut mengalami kecederaan.

Menurut Muhd Aidil, kebiasaannya mereka akan terus pulang ke rumah namun arwah mengajak dia bersama seorang lagi rakan singgah ke kedai itu untuk makan kerana arwah terlalu lapar.

Katanya, ketika berbual sementara menunggu hidangan sampai, arwah bergurau menyatakan ini kali terakhir dia akan makan di kedai itu.

“Saya tidak sangka beberapa minit selepas hidangan sampai, secara tiba-tiba, sebuah lori merempuh kedai makan dan menyeret mangsa sejauh 10 meter.

“Tidak sangka gurauan arwah itu menjadi kenyataan, namun kami reda dengan ketentuan ilahi yang lebih menyayanginya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, ketika kejadian lori balak tanpa muatan berkenaan dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Kuala Krai.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, lori itu dikatakan mengalami masalah stereng sebelum terbabas dan merempuh sebuah kereta dan tiga motosikal yang diparkir di bahu jalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 7:20 AM