AHMAD (dua dari kiri) membuat lawatan ke gerai durian di tapak karnival.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Masalah lambakan durian di negara ini yang sering dialami pekebun tempatan kini berjaya diatasi melalui segmen pasaran baru membabitkan aktiviti eksport hasil pemprosesan isi durian dan membekukan ulas durian ke China.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata, pihaknya yakin melalui segmen pasaran baru itu, tiada lagi masalah lambakan durian berlaku seperti sebelum ini yang mengakibatkan harga raja buah itu jatuh.

Menurutnya, sejak mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pentadbiran Am Penyeliaan melalui Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China (AQSIQ), membabitkan aktiviti eksport durian beku bersama negara itu tahun lalu, hubungan dua hala itu memberi impak besar terhadap pasaran durian negara.

“Pihak AQSIQ sebelum ini membuat pemeriksaan premis dan melihat ladang durian kita di sini dan titik tolak daripada lawatan itu, kita menerima satu kelulusan untuk melakukan eksport untuk dua jenis kategori durian iaitu ulas durian beku yang membabitkan durian bernilai tinggi termasuk jenis Musang King, B24, 101,dan Udang Merah.

“Kategori kedua adalah isi durian yang sudah di proses seperti lempuk, durian crepe, lempeng, aiskrim, ‘crispy roll’ dan kuih bulan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani dan Florikultur 2016 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:09 AM