MUHD Farhan (kanan) melepaskan peserta dari gabungan kelab motosikal Y15 ZR Selangor dan Kuala Lumpur berkonvoi ke Cherating bagi mengutip derma bantuan Ramadan untuk penduduk Syria.
Ayusliza Azizan

Shah Alam: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyasarkan sejumlah RM2 juta dana bantuan termasuk makanan, minuman serta barangan keperluan untuk dibawa ke Syria pada awal Ramadan ini sebagai persediaan menyambut bulan puasa.

Justeru, bagi mengumpul dana itu, satu program pelepasan Konvoi Aman Palestin ‘Ride to Al-Aqsa’ bersama gabungan kelab motosikal Y15 ZR Selangor berlangsung di bandar raya ini, kelmarin.

Pengurus Aman Palestin Cawangan Shah Alam Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, kutipan RM23,000 disasarkan melalui program itu yang turut dapat memupuk sikap prihatin dalam kalangan masyarakat.

“Lebih 200 ahli kelab motosikal dari Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang yang menyertai konvoi akan menuju ke Pantai Cherating, Dataran Kuantan dan Pantai Teluk Cempedak sebagai destinasi orang ramai pada musim cuti sekolah ini.

“Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya gerai jualan amal, perkongsian ilmu Palestin, persembahan dan edaran risalah kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas melepaskan konvoi itu di pekarangan Pejabat Aman Palestin, di sini.

Menurut beliau, selain mengutip dana, program itu bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab membantu dan meringankan beban rakyat Palestin.

Kata Muhd Farhan, Aman Palestin berjaya menghantar bantuan kemanusiaan pada 19 hingga 29 Mac lalu ke Syria membabitkan 10 sukarelawan termasuk doktor dan wartawan.

“Pada misi itu, Aman Palestin membawa bantuan berjumlah RM500,000 dan berharap diberikan kemudahan untuk ke negara berkenaan pada misi bantuan pada awal Ramadan nanti.

“Sejak ditubuhkan, Aman Palestin sudah menyalurkan RM52 juta ke Syria dalam pelbagai program dan misi bantuan dijalankan antaranya Misi Bantuan Musim Sejuk, Misi Perubatan dan Misi Solidariti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 10:07 AM