NADZIM
myMetro

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu pihak berkaitan bertindak lebih tegas dengan meletakkan garis panduan terhadap pengusaha makanan dan hotel supaya tidak melakukan pembaziran makanan pada Ramadan nanti.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pengusaha makanan dan hotel termasuk orang ramai yang melakukan pembaziran seharusnya dikenakan denda terhadap kesalahan itu bagi mendidik mereka bersikap berjimat cermat.

Beliau berkata, Ramadan sepatutnya disambut secara sederhana dan bukannya bermegah dengan membeli atau menyediakan makanan secara berlebihan hingga berlakunya pembaziran.

“Hasil kajian yang dijalankan PPIM mendapati peningkatan dua kali ganda pembuangan bahan makanan berlaku pada Ramadan dan rata-rata membabitkan penjual, pengguna dan pihak hotel.

“Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 15,000 hingga 20,000 tan metrik sampah dibuang setiap hari pada Ramadan nanti dan jika tiada usaha penjimatan dilakukan, pasti berlaku pembaziran yang merugikan banyak pihak,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, PPIM akan menjalankan kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menangani masalah terbabit yang dilihat semakin membimbangkan.

“PPIM juga meminta pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya meletakkan syarat menangani masalah pembaziran makanan setiap kali memberikan sijil halal kepada pengusaha makanan atau pengendali hotel yang mempunyai hidangan bufet,” katanya.

“Masalah pembaziran ini setiap tahun berlaku dan jika tiada usaha dilakukan daripada pihak berkaitan pasti akan mendatangkan kerugian nanti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pengusaha makanan atau pengendali hotel seharusnya mempunyai langkah susulan dalam menangani pembaziran makanan iaitu menguruskannya dengan memberikan kepada golongan memerlukan.

Keterangan Gambar

#Sidang media PPIM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 7:32 AM