KAPAL Penyelamat 7 digunakan Maritim Kelantan bagi mengawasi perairan negeri Kelantan.
myMetro

Pasir Puteh: Pemberi maklumat atau tonto sekitar Tok Bali, di sini, didakwa mampu meraih pendapatan hampir RM10,000 sebulan, hanya dengan melaporkan pergerakan pihak berkuasa kepada segelintir pengusaha bot laut dalam dan nelayan asing.

Kumpulan tonto dianggarkan seramai 30 hingga 40 orang itu dipercayai akan memaklumkan terus kepada beberapa tauke ikan seluruh Kelantan yang mengupah mereka termasuk tauke bot laut dalam dari Pahang dan Terengganu yang berpangkalan di Tok Bali.

Hanya menggunakan telefon bimbit, kumpulan itu segera menyalur maklumat sebaik melihat kelibat kapal atau bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim (DM) 10 keluar dari Jeti APMM Tok Bali.

Modus operandi kumpulan tonto itu cukup mudah iaitu ‘berlakon’ sebagai pemancing ikan di atas Jambatan Tok Bali atau pengunjung pantai ataupun duduk melepak di beberapa wakaf berhampiran muara Tok Bali.

Difahamkan, untuk setiap laporan, mereka boleh memperoleh RM700 hingga RM800 selain menerima komisen minyak dan hasil laut.

Pengarah Maritim DM 10 Kelantan, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menyedari khidmat itu digunakan segelintir pengusaha laut dalam terutama nelayan asing yang takut dicekup kerana menceroboh perairan negara dan menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang Jabatan Perikanan Malaysia.

“Golongan ini juga tidak mahu dikesan kerana mungkin turut menggunakan tekong atau awak-awak warga asing tanpa lesen sah. Jadi kita tak tolak kemungkinan mereka upah khidmat tonto sebagai ‘informer’.

“Pasukan kami kerap keluar beroperasi tapi tonto ini dipercayai penduduk tempatan berhampiran kerap pula melapor maklumat termasuk yang sulit. Ini yang banyak ganggu urusan kita untuk cegah penyeludup.

“Untuk kesan tonto ini juga agak sukar kerana kekangan aset dan maklumat yang terhad,” katanya dalam lawatan bersama media menaiki kapal KM Jujur di sekitar perairan Tok Bali dan Pulau Perhentian, Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi Maritim DM 10 Kelantan, Komandan Ismail Hamzah.

Nurul Hizam berkata, selain tonto warga tempatan, nelayan Vietnam yang bekerja secara sah dengan tauke laut dalam turut menjadi ‘duri dalam daging’ kepada APMM.

Katanya, golongan itu dipercayai menjadi sumber maklumat kepada rakan senegara yang menceroboh perairan negara.

“Sebaik kita cuba menjejaki lokasi pencerobohan nelayan asing itu, kelibat mereka langsung tidak kelihatan di lokasi maklumat diterima,” katanya.

Justeru itu, Nurul Hizam memaklumkan, Sahabat Maritim terdiri daripada dalam kalangan nelayan tempatan dan penduduk setempat diperkasa sebagai usaha untuk membanteras kegiatan itu terus berleluasa.

Katanya, Sahabat Maritim akan menjadi mata-mata kepada APMM menyalur maklumat berguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 7:39 AM