ANGGOTA KPDNKK merampas seluar tiruan di pasar pagi Kubu Gajah.
Nadzreen Shah Mat Salim

Sungai Buloh: Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor merampas 3,163 helai seluar jean tiruan berjenama Levi’s dengan nilai rampasan RM71,540.00 di sebuah rumah kedai di pasar pagi Kubu Gajah, di sini, semalam dipercayai untuk pasaran menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Sepasukan anggota KPDNKK dan sembilan pegawai menyerbu premis berkenaan pada jam 10 pagi bersama wakil dari pemilik syarikat cap dagangan yang membuat aduan mengenai kegiatan itu.

Ketua Seksyen Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Basharudin Mohiyuddin berkata, hasil dari maklumat orang awam dan risikan mendapati terdapat pihak lain memperdagangkan barangan berjenama Levi’s tanpa kelulusan atau kebenaran yang sah daripada syarikat cap dagangan.

“Sebanyak tiga kes direkodkan dan sebanyak 3,163 helai seluar jeans pelbagai saiz dirampas dalam operasi itu,” katanya, semalam.

Menurutnya, syarikat yang menghasilkan seluar jeans itu menjadikan rumah kedai berkenaan sebagai stor penyimpanan barangan sebelum dipasarkan kepada peniaga.

“Semasa operasi dijalankan, pemilik perniagaan dan pekerjanya yang berada di stor berkenaan terkejut dengan kehadiran anggota KPDNKK,”katanya.

Basharudin berkata, pemilik syarikat itu akan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan penalti iaitu denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap unit barang yang dirampas dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 7:52 AM