TIMBALAN Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Dr Renuganth Varatharajoo (tengah) menyampaikan helmet dan jaket keselamatan.
TIMBALAN Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Dr Renuganth Varatharajoo (tengah) menyampaikan helmet dan jaket keselamatan.
myMetro

Serdang: Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) mewujudkan sistem baharu latihan meramal bahaya jalan raya (Hazard Perception Training HPT) yang pertama di negara ini dengan tujuan memberi kesedaran kepada penunggang dan pemandu kenderaan.

Sistem yang beroperasi menguji keupayaan pelatih (pemandu atau penunggang) dengan menggunakan teknologi visual itu memupuk masyarakat supaya dapat mengelak kebarangkalian berlaku kemalangan sehingga 20 peratus.

Timbalan Pengarahnya, Prof Dr Law Teik Hua berkata, beliau dan pasukannya mencipta inovasi itu bukan saja mahu mendedahkan pelatih kepada persekitaran lalu lintas, malah membuat keputusan tepat ketika menjangka bahaya.

“Sebagai contoh, pelatih mahu memotong kereta yang berhenti di tepi jalan, sekiranya pelatih menjangkakan pintu kereta itu akan dibuka, dia akan mengupayakan untuk mengelak lebih jauh supaya tidak berlaku kemalangan.

“Kami bercadang untuk memperkenalkan sistem latihan HPT di peringkat universiti sebelum mengembangkan inovasi ini di sekolah,” katanya selepas melancarkan sistem latihan HPT dalam program Petron’s Road Safety di UPM, semalam.

Menurutnya, sekiranya sistem itu mampu mengurangkan kadar kemalangan di seluruh negara, pihaknya akan merujuk kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dimasukkan ke dalam kurikulum kelas ujian memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 7:30 AM