X
DR S Subramaniam (dua dari kanan) melawat gerai pameran selepas majlis perasmian APHM 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
DR S Subramaniam (dua dari kanan) melawat gerai pameran selepas majlis perasmian APHM 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan bercadang melaksanakan sistem audit di hospital swasta di seluruh negara bagi memantau dan mengawal kadar caj bayaran dikenakan ke atas pesakit yang mendapatkan perkhidmatan rawatan di hospital berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, ia satu formula terbaik ke arah mentransformasikan perkhidmatan kesihatan di hospital swasta di negara ini.

“Sistem audit ini dilaksanakan di semua hospital kerajaan dan diperluaskan ke hospital swasta pula supaya bayaran ditetapkan pada kadar munasabah.

“Dengan cara ini dapat mengelakkan hospital swasta mengenakan kadar bayaran tinggi yang akhirnya membebankan pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi APHM, Datuk Dr Jacob Thomas.

Persidangan kali ke-24 itu diadakan tiga hari sejak kelmarin membincangkan pelbagai isu kritikal dalam industri penjagaan kesihatan di negara ini.

Katanya, cadangan terbabit sebagai langkah awal kepada usaha berkenaan menerusi kerjasama di antara kementerian dengan hospital swasta supaya pesakit tidak terbeban dengan caj bayaran tinggi.

“Hospital swasta membelanjakan antara RM20 hingga RM21 bilion setahun dengan 35.36 peratus ditanggung pesakit menerusi bil rawatan.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melihat perkara ini sebagai fenomena tidak menyihatkan dan jumlah itu perlu dikurangkan kepada 25 peratus berbanding 35.36 peratus pada masa ini,” katanya

Dalam pada itu, Dr S Subramaniam turut menasihati rakyat supaya menjaga kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk tidak merokok dan mengurangkan minuman beralkohol.

Katanya lagi, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi mendapati 17.5 peratus golongan dewasa di negara ini dikesan menghidap diabetes dan 30.3 peratus golongan berkenaan berusia 18 tahun ke atas pula menghidap penyakit darah tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 9:39 AM