Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Saksi keempat pendakwaan perbicaraan ajaran Milah [email protected] melakukan pengecaman terhadap tiga tertuduh yang bertanggungjawab melakukan pengajaran ketika serbuan dilakukan di Bilik Sakura IYC, No 1, Jalan Yaakob Latiff, Bandar Tun Razak, Cheras, 1 Februari lalu.

Saksi yang juga pencatat unit Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Asraf Md Noh memberi keterangan ketika disoal Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassin ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah, memasuki hari keempat semalam.

Dalam prosiding itu, Zainor Rashid meminta Mohd Asraf menjelaskan tugasnya sebagai penguat kuasa JAWI dan serbuan pada malam itu.

Mohd Asraf memberitahu mahkamah di hadapan Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab dia ditugaskan sebagai pencatat nama 58 tertuduh ketika operasi dilakukan di Bilik Sakura IYC, 1 Februari lalu.

“Setibanya saya di parkir pada jam 8.32 malam, saya terus bergerak ke bilik dan melihat terdapat audiens di dalamnya dengan pancaran di layar hadapan tertera tulisan jawi dan rumi.

“Saya nampak tiga lelaki berada di hadapan sebelum meminta kad pengenalan tertera nama Farzlie Rahmat, 40, Hamatan Mezi Wahab, 49, dan Sehadle Sa’amah, 35,” katanya.

Zainor Rashid kemudian meminta Mohd Asraf bangun daripada kandang saksi dan menunjukkan ketiga-tiga tertuduh yang berada di tempat orang awam berkenaan.

Mohd Asraf kemudian bangun dan bergerak ke tempat orang awam dan menunjukkan tiga tertuduh iaitu Farzlie, Hamatan Mezi dan Sehadle.

Seramai 14 saksi pendakwaan akan dipanggil dalam perbicaraan itu dengan diketuai Zainor Rashid, Mohd Hafiz Abd Hamid dan Mohd Ihsan Mohamad Daud manakala pihak pembelaan diwakili peguam syarie Zaini Zainol dan Fakhrul Azman.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Farzlie Rahmat, Hamatan Mezi Wahab, dan Sehadle Sa’amah, dituduh mengajar doktrin agama berlawanan dengan hukum syarak berhubung ajaran Millah Ibrahim @Abraham mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Tiga lagi individu iaitu Nor Azri Baharudin, 48, Mohd Halimin Mohd Nasir, 40, dan Mohd Agus Abu Samah, 39, didakwa dengan sengaja membantu satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatan Mezi dan Sehadle mengikut Seksyen 43 (c) akta sama.

Selebihnya dituduh mengikut Seksyen 43 (b) akta sama kerana mengambil bahagian dengan berada dalam satu majlis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 10:17 AM
KES ajaran sesat Milah Abraham bersambung di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.