Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan beramah mesra bersama Najib dan Rosmah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah menyeru rakyat Malaysia supaya tidak mudah terjebak dan terpengaruh dengan ideologi songsang yang boleh mengakibatkan kehancuran kepada negara serta tamadun dunia.

Seri Paduka bertitah, pergolakan yang berlaku di seluruh pelosok dunia dan serangan pengganas di beberapa negara seperti Belgium, Turki, Perancis dan Indonesia sejak kebelakangan ini menzahirkan kebimbangan di hati baginda.

Baginda bertitah, serangan itu tidak saja menyebabkan kemusnahan harta benda, malah mengakibatkan banyak nyawa terkorban, termasuk orang awam dan rakyat yang tidak berdosa.

“Ini disebabkan angkara kumpulan pengganas dan munculnya kefahaman serta ideologi yang terlalu ekstrem dan taasub kepada kelompok sempit dan menyimpang jauh daripada ajaran Islam sebenar,” titah baginda pada majlis menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini, semalam.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, tetamu kehormat dan duta-duta.

Pada majlis semalam, seramai 39 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada keseluruhan 1,546 penerima, menerima pingat kebesaran masing-masing.

Tuanku Abdul Halim juga bertitah, sambutan keputeraan rasminya semalam yang terakhir bagi pemerintahan kedua Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, yang akan berakhir hujung tahun ini.

Kali pertama Tuanku Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong dari 1970 hingga 1975.

Baginda turut bertitah: “Apa yang pasti masa berlalu begitu pantas. Beta bersyukur dalam tempoh pemerintahan, Beta diberi kesempatan dan kurnia Allah SWT melihat negara ini berkembang daripada satu fasa ke satu fasa.”

Seri Paduka bertitah era pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri ternyata menongkah arus cabaran ekonomi global dan meletakkan namanya di peta antarabangsa dalam pelbagai pencapaian.

“Beta sukacita dan mengambil maklum mengenai laporan kejayaan Program Transformasi Negara yang bernaung bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional apabila mendapati Petunjuk Prestasi Utama keseluruhan bagi Program Transformasi Kerajaan telah mencapai 99 peratus pencapaian,” titah Tuanku Abdul Halim. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:16 AM