NOR Hafizy dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berkaitan merekrut ahli kumpulan pengganas IS di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Seorang juruteknik kapal terbang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan menyediakan rumahnya sebagai tempat memberi sokongan serta merekrut ahli untuk menyokong militan Daish atau dikenali juga sebagai Negara Islam (IS)

Tertuduh, Nor Hafizy Che Meh, 39, didakwa atas dua pertuduhan membabitkan militan Daish.

Dalam pertuduhan pertama, Nor Hafizy didakwa menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas Daish di sebuah rumah beralamat Lot 6846-F, Lorong Kemboja, Kampung Melayu Subang antara Disember 2013 hingga Oktober 2015.

Untuk tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130G(b) Kanun Keseksaan (KK) yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, Nor Hafizy yang bertanggungjawab terhadap kediaman itu didakwa membenarkan perjumpaan diadakan di rumah itu dalam tempoh dan tarikh sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130G(b) KK dan juga boleh dihukum mengikut Seksyen 130H KK yang membawa hukuman penjara 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berpakaian baju-T merah jambu, seluar jeans gelap serta sandal mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Pendakwaan dilakukan Pengarah Pendakwaan Selangor, Roslan Mat Nor.

Mahkamah menetapkan 28 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 10:55 AM