ENAM suspek kes pembunuhan Kevin yang dibicarakan.
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, dipertontonkan selama lebih tiga jam klip video daripada kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais.

Klip video itu diambil di empat tempat, iaitu di jalan raya, Hotel New Town di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Go Hotel di Subang Jaya dan restoran Syed Bistro, Petaling Jaya.

Juruanalisis Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Inspektor Mior Samsul Abdul Rahman, 32, berkata, beliau menerima barang kes daripada Sarjan Nasrullah untuk dianalisis dan diterangkan jam 4 petang pada 8 November tahun lalu.

“Apabila membuka sampul itu, terdapat cakera padat (CD) untuk dianalisis mengenai suspek yang terbabit menerusi rakaman itu.

“Saya kemudian membuat analisis dan menjelaskan imej suspek seperti diarahkan pegawai penyiasat Asisten Superintendan (ASP) Wan Abdullah Wan Said di komputer saya pada 18 Disember tahun lalu,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Masri Daud.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata, beliau memfokuskan imej sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dilihat mengekori rapat satu lagi kenderaan lain di jalan raya ketika analisis dilakukan.

“Dalam gambar lain di jalan raya sama, kelihatan seorang individu keluar daripada pacuan empat roda dan pergi ke kereta jenis sedan yang berada di depan,” katanya.

Menurutnya, hasil analisis juga mendapati enam individu keluar serentak daripada restoran Syed Bistro selain satu lagi imej memaparkan individu memakai serban membuat pembayaran.

“Selain itu, di Hotel New Town pula, saya memfokuskan dua individu, iaitu yang berambut nipis dan yang berserban di kaunter pembayaran dan rakaman diambil jam 8.52 pagi pada 3 September tahun lalu.

“Di Go Hotel pula, paparan imej dua lelaki memakai baju kemeja-T berwarna biru dan putih keluar daripada bilik,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, enam lelaki, G Gunasekaran, 48, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, S Nimalan, 23 dan S Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seorang lagi tertuduh, R Kunaseegaran, 53, yang juga pakar patologi tentera mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin di tempat, tarikh dan masa yang mengikut Seksyen 109, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302, akta sama.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September tahun lalu. Beliau dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta, di sini, dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q.

Mayatnya ditemui di dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini, pada 16 September tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Datuk Azman Abdullah bersambung 27 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 10:57 AM