Mastura ditemani anak sulung, Wan Emir Astar Wan Khair-il Anuar menunjukkan agenda perjuangannya.
Mastura ditemani anak sulung, Wan Emir Astar Wan Khair-il Anuar menunjukkan agenda perjuangannya.
Nasharuddin MuhammadWan Asrudi Wan Hasan dan Yusmizal Dolah Aling dan Mohamad Hairi Azmi Tham


Kuala Kangsar: “Sebagai manusia biasa, perkataan sebegitu sudah semestinya mengguris perasaan saya dan anak-anak, tetapi saya maafkan beliau kerana percaya Allah akan menunjukkan kebenaran yang sebenar kepada kita semua,” kata calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid.

Reaksi itu diberikan Mastura ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dipetik dalam media sosial sebagai berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar diadakan sebagai balasan kepada BN.

Menurutnya, pada masa ini, beliau hanya memikirkan perkara penting di Kuala Kangsar dan menghormati calon lain yang bertanding.

“Ketika ini, saya sangat menitikberatkan perkara membabitkan pembangunan orang Kuale (Kuala Kangsar).

“Jadi beri peluang kepada saya memikirkan dan menjalankan agenda untuk orang Kuale,” katanya di kediamannya di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar Mohd Kamil Shafei.

Ditanya mengenai tindakannya jika ada pihak yang terus memainkan isu serangan peribadi, Mastura berkata, beliau menganggap dirinya perlu memaafkan mereka kerana pendekatan kempen digunakan juga berbeza.

“Mungkin cara kempen kami (BN) berbeza, mungkin saya merasakan terlalu banyak kerja hendak dibuat untuk orang Kuale.

“Saya dipilih (sebagai calon BN) untuk mewakili mereka. Semestinya apa yang membabitkan orang Kuale dan dititikberatkan oleh orang Kuale menjadi keutamaan saya.

“Isu nasional boleh difikirkan (jika menang) ketika saya di Parlimen nanti.

“Kita di Kuale ini sangat harmoni dan sangat sederhana, jadi kalau sesiapa yang datang, saya anjurkan supaya mereka juga menghormati kesederhanaan dan keharmonian kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 8:58 AM
Digital NSTP Subscribe