AHMAD Shabery (tiga dari kiri) melihat demonstrasi memotong tuna.
Hamzah Osman

Langkawi: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menetapkan sasaran untuk menjadi antara negara penyumbang terbesar dalam industri tuna dunia menerusi pendaratan sebanyak 130,000 tan metrik tuna dengan pendapatan mencecah RM1 billion setahun menjelang 2020.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pendaratan tuna di negara ini dijangka meningkat berikutan penambahbaikan kemudahan pelabuhan dan prasarana sejuk beku, selain pembabitan lebih banyak syarikat swasta dalam industri itu.

“Sebahagian besar tuna yang didaratkan di negara ketika ini adalah spesies neritik atau perairan pantai seperti skipjack (tongkol/aya jalur) dan longtail (tongkol/aya hitam).

“Sasaran kita ialah mendaratkan 75,000 tan tuna tahun ini sebelum meningkat kepada 130,000 tan menjelang 2020, berbanding 68,000 tan pada tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pendaratan sulung tuna di Pelabuhan Tanjung Lembung, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Mohd Sallehhuddin Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Nor Saidi Nanyan.

Ahmad Shabery berkata, kerajaan menggalakkan tuna didaratkan dalam negara sebelum dieksport kerana mampu memberi keuntungan berganda kepada negara daripada segi tukaran mata wang, selain memperbaiki imbangan dagangan sektor agromakanan negara.

“Lagi banyak kita eksport, lagi banyak industri (tuna) ini memberi keuntungan kepada negara, malah tuna yang bergred tinggi mempunyai nilai pasaran besar berikutan permintaan menggalakkan dari Jepun, Eropah, Timur Tengah dan Taiwan.

“Dalam hal ini, beberapa lokasi seperti Pulau Pinang dan Langkawi memiliki prasarana sejuk beku yang baik, lapangan terbang dan pelabuhan yang dekat, sekali gus memudahkan pengekspotan tuna dilakukan,” katanya.

Katanya, Pelabuhan Tanjung Lembung, di sin, dan Dermaga Air Dalam di Pulau Pinang didaftarkan dengan Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC) untuk membolehkan kedua-dua pelabuhan itu mendaratkan tuna yang ditangkap di Lautan Hindi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:42 AM