Ieman Fayruzz Mikhail hidap empat penyakit kronik.
myMetro

Alor Setar: Keluarga kepada bayi lelaki Ieman Fayruzz Mikhail Abd Rahim, lapan bulan, yang menderita empat penyakit kronik hingga terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan memberi jaminan menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk perbelanjaan perubatan anak mereka.

Ibunya, Nor Hidayu Halim, 27, berkata dia bersama suami Abd Rahim Ismail, 30, terharu dengan keprihatinan rakyat negara ini kerana sumbangan mereka hingga mampu mengumpul RM10,000 dalam tempoh seminggu selepas kisah anaknya tersiar dalam Harian Metro.

Menurutnya, dia berjanji menggunakan sumbangan daripada orang ramai sebaik mungkin untuk kebaikan anak bongsu daripada dua beradik itu.

“Kami memerlukan RM1,000 untuk menampung keperluan harian, kos perubatan mahupun rawatan Ieman pada setiap bulan dan wang sumbangan orang ramai ini mampu meringankan beban keluarga berikutan pendapatan suami tidak tetap.

“Saya perlu untuk membuat persediaan dengan merancang kewangan yang ada bagi membolehkan Ieman mendapat kemudahan rawatan yang baik.

“Saya terpaksa membeli sendiri tiub makanan di farmasi, malah turut membeli keperluan lain seperti tiub pernafasan yang perlu ditukar dalam masa tertentu bagi mengelakkan jangkitan,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Taman Seberang Kota, Kuala Kedah, di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan di rumah keluarga mentuanya sudah baik kerana dilengkapi kipas bagi mengelakkan berlaku ruam pada Ieman.

“Ketika ini, kami meminjam mesin pernafasan berkenaan daripada Hospital Pulau Pinang untuk tempoh tiga bulan dan perlu dipulangkan semula.

“Bagaimanapun, hati saya sedikit lega apabila terdapat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berjanji mahu memberi bantuan berupa mesin pernafasan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro memaparkan kisah Ieman Fayyruz yang menderita empat penyakit iaitu jantung berlubang, masalah paru-paru kronik, sawan dan lelah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 10:17 AM