Kenderaan yang dinaiki mangsa remuk selepas melanggar penghadang jalan.
myMetro

Gua Musang: Seorang warga India maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya hilang kawalan sebelum terbabas dan terhumban ke dalam longkang ketika cuba mengelak babi melintas jalan di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Lojing, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa dikenali sebagai Gano berusia lingkungan 30-an, meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM) akibat kecederaan parah di kepala.

Tiga lagi mangsa yang parah di kepala adalah pemandu kenderaan pacuan empat roda itu, Mohamad Zawawi Mustapha, 39, rakan Gano yang juga warga India, Madhao Prasad, 30, dan warga Pakistan, Aziz Ur Rehman, 40, menerima rawatan di hospital sama.

Mohamad Zawawi berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Lojing ke Bandar Gua Musang sebelum membantu menumpangkan tiga lelaki itu yang menunggu kenderaan untuk ke destinasi yang sama.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba babi melintas jalan dan dia cuba mengelak, namun kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan dan terhumban ke dalam longkang.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya cedera di kepala terkejut melihat seorang daripada tiga penumpang yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tidak sedarkan diri. Saya kemudian meminta pertolongan dari pengguna jalan raya lain untuk menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Seorang mangsa meninggal dunia di HGM, manakala tiga lagi mangsa parah di kepala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:58 AM