LELAKI dipercayai mencuri motosikal di UiTM ditahan.
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Perbuatan seorang lelaki menjadikan waktu berbuka puasa sebegai peluang untuk mencuri motosikal di sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, terbongkar apabila ditahan ketika mencari ‘sasaran’ bersama teman wanitanya, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 30-an itu bergerak bersama rakannya dengan menggunakan taktik meletakkan motosikal ditunggangnya bersebelahan motosikal yang hendak dicuri.

Dia dikatakan berpura-pura mahu berbuka puasa di kafe universiti namun keluar semula sebelum melarikan motosikal mangsa.

Kegiatan haramnya dihidu polis bantuan UiTM yang menahan suspek dan teman wanitanya berusia 20-an jam 5.45 petang, kelmarin.

Ketua Polis Bantuan UiTM Superintendan Badarudin Mohd Dom berkata, pihaknya melakukan intipan dan rondaan lebih kerap selepas menerima laporan kehilangan empat motosikal Yamaha 125Z di kawasan itu sejak seminggu lalu.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kami mengenal pasti lelaki itu yang berada di kawasan kafe seolah-olah mencari motosikal sasarannya.

“Menyedari kehadiran seorang anggota polis bantuan, lelaki dan teman wanitanya bergegas melarikan diri dengan motosikal ditunggangnya,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, perkara itu segera dimaklumkan kepada anggota polis di pintu masuk dan lelaki terbabit cuba melanggar pagar namun terjatuh sebelum ditahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya memburu rakan suspek bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:37 AM