FIRDAUS sempat bergambar dengan Abdul Wahid yang menjadi pemandu Uber.
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Tan Sri Abdul Wahid Omar yang kini ‘menganggur’ selepas meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri membuat kejutan apabila menjadi pemandu Uber.

Perkara menarik itu didedahkan seorang pengguna aplikasi Uber, Firdaus Fadzil yang memuat naik perjalanannya ke pejabat menggunakan kereta Uber dalam laman sosial Facebook, kelmarin.

Katanya, beliau teruja apabila kereta Uber ditempahnya itu dipandu individu hebat yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank.

“Perjalanan ke pejabat menaiki Uber dengan salah seorang maestro korporat dan ekonomi paling berjaya dengan Perdana barunya,” katanya yang turut memuat naik gambar bersama Abdul Wahid.

Kisah viral yang turut berlegar di laman sosial itu dikongsi kakak kepada pengarah filem terkenal Allahyarham Yasmin Ahmad, Datin Orked Ahmad yang memuat naik perbualannya bersama Abdul Wahid menerusi aplikasi WhatsApps ke laman Facebooknya, semalam.

Dalam catatan itu, Abdul Wahid berkata, ia perkara yang ingin dilakukan sejak awal, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana masih bertugas sebagai menteri.

Katanya, beliau mempunyai tiga matlamat utama iaitu ingin mendapat pengalaman sebagai pemandu Uber serta merasai bebannya, mempromosi kereta baharu Proton Perdana sebagai kereta eksekutif negara dan mengumpul dana untuk tujuan kebajikan.

Abdul Wahid mendaftar sebagai pemandu Uber pada Khamis lalu dan sempat mengambil lapan penumpang kelmarin dari jam 9 pagi hingga 4 petang sebelum menyambung perkhidmatannya pagi semalam.

“Setakat ini, saya mendapat ‘top up’ sebanyak 30 kali,” katanya.

Perkongsian Orked itu mendapat sambutan hangat apabila ramai meminta untuk menjadi penumpang Abdul Wahid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:37 AM